Blog

Ubahsuai rumah sesuka hati

image
WARTAWAN SINAR HARIAN
9 November 2014
KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pemilik rumah berhampiran Jalan Udang Galah, Taman Sri Segambut yang membuat penambahan pada struktur kediamannya menimbulkan rasa kurang senang sebilangan penduduk  yang menetap di kawasan ini.

Difahamkan, tindakan pemilik rumah berkenaan menimbulkan pertikaian penduduk memandangkan kediaman itu sedang diubahsuai dari satu tingkat menjadi tiga tingkat.

Menurut jirannya, Tan Choong Sun, 72, pihak berkenaan mula mengubahsuai rumah tersebut sejak tiga bulan lalu.

“Pemilik rumah sesuka hati mengubahsuai kediaman menjadi tiga tingkat tanpa memikirkan nasib penduduk lain di sini.

“Selain itu, dari apa yang saya difahamkan, kelulusan bagi penambahan hanyalah untuk pembinaan separuh tingkat dan bukannya sehingga tiga tingkat,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Menurut Choong Sun, sebelum ini, pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pernah beberapa kali turun ke lokasi bagi meninjau keadaan di tapak rumah kediaman itu malah kerja-kerja pembinaan juga pernah dihentikan pada 9 Oktober lalu.

Namun  kata Choong Sun, kerja-kerja pembinaan  berjalan semula 23 Oktober lalu.

“Saya risau tapak pembinaan mampu mengancam nyawa penduduk lain di sini khususnya jiran sebelah,” katanya.

Tambahnya, sekiranya pihak berkenaan masih mahu meneruskan pembinaan itu,  dia mahukan jaminan daripada DBKL dengan mengeluarkan surat yang mengatakan struktur penambahan itu kukuh dan tidak mendatangkan bahaya.

Dalam pada itu, menurut isterinya, Chong Ah Tai,68, sejak pembinaan itu dibuat  banjir kilat turut berlaku kerana sistem saliran yang terganggu.

“Lori yang datang bagi menghantar barangan untuk pembinaan itu juga telah menyebabkan  longkang di kawasan berkenaan  pecah dan ini mengganggu sistem saliran terutamanya pada waktu hujan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng  yang maklum akan perkara itu turut turun padang ke lokasi semalam bagi meninjau keadaan di rumah kediaman tersebut secara lebih dekat.

Menurut Lip Eng, sebelum ini, pihaknya telah menghantar surat kepada DBKL bagi mengetahui status sebenar pembinaan di rumah kediaman itu yang menimbulkan keresahan penduduk setempat.

“DBKL telah memaklumkan bahawa isu projek pembangunan tanah di lot berkenaan telah diserahkan kepada Jabatan Reka bentuk Bandar dan Bangunan untuk dikenakan tindakan selanjutnya selepas ini,” katanya.

Lip Eng turut menjelaskan, berdasarkan undang-undang Akta Parit dan Bangunan 1974 yang digunapakai, jika didapati bersalah, pemilik rumah berkenaan boleh dikenakan tindakan denda maksimum RM50,000 jika disabitkan kesalahan.

Jelas beliau, tindakan pihak berkenaan hanya mengundang risiko bahaya khususnya buat jiran sebelah memandangkan ia dapat memberi ancaman dari aspek keselamatan.