Blog

Cadang Talang Di Bumbung Ditanggalkan Elak Denggi

gutter

SHAH ALAM: Kementerian Kesihatan mencadangkan supaya satu enakmen diperkenalkan bagi mewajibkan semua talang di bumbung bangunan lama ditanggalkan selepas didapati menjadi antara punca tempat pembiakan jentik-jentik.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, denggi bukan sahaja berpunca daripada masalah kebersihan di dalam dan di luar rumah tetapi saluran tersebut turut boleh membiakkan nyamuk.

Menurut Hilmi, tinjauannya di kawasan perumahan Seksyen 7 di sini mendapati kesemua rumah di situ mempunyai saluran itu dan mungkin menghadapi masalah yang sama iaitu menjadi tempat pembiakan nyamuk.

“Walaupun air mengalir (dalam saluran) tetapi pada bahagian hujung terdapat air bertakung yang membolehkan nyamuk membiak. Nyamuk boleh membiak pada kapasiti hanya lima kubik sentimeter.”

“Masalah ini tidak akan selesai kecuali mengadakan peraturan atau undang-undang supaya mewajibkan semua saluran air dibuang dan pada masa akan dating ia tidak dipasang di rumah-rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada siding akhbar selepas melancarkan Program Ayuh Gempur Aedes Perdana Peringkat Kebangsaan 2014 di sini semalam.

Talang merupakan sebuah saluran sempit atau palung yang merupakan sebahagian komponen system atap yang berfungsi mengumpul dan mengalirkan air hujan yang turun di atas bumbung.

Sementara itu, beliau berkata, kes denggi di Malaysia meningkat sebanyak 98 peratus dengan jumlah kes dilaporkan 43,346 kes pada tahun 2013 berbanding hanya 21,900 kes pada tahun sebelumnya.

Bagi kematian akibat denggi turut berlaku peningkatan iaitu sebanyak 92 kematian pada tahun lalu berbanding 35 kematian pada tahun 2012 dengan peningkatan sebanyak 163 peratus.

KOSMO
Isnin, 6 Januari 2014